BANTUAN KEMANUSIAAN KE SYRIA SATU JIHAD?

Berikut adalah artikel yang telah ditulis oleh Saudara Razali Awang bekas Wartawan Krisis Antarabangsa yang telah disiarkan di Slot Ibrah, Mega Rona Utusan Malaysia Mukasurat 25. Selasa 4 Oktober 2016.
 
Kedatangan musim sejuk dalam tempoh beberapa minggu akan datang membawa satu lagi malapetaka kepada mangsa konflik berdarah di Syria.
 
Dalam situasi yang tidak menampakkan sebarang petanda akan reda, nasib 8 juta penduduk bumi Syam yang terkepung dan lebih 5 juta lagi yang bertebaran sebagai pelarian di negara jiran seperti Turki, Lubnan dan Jordan bergantung penuh kepada ihsan masyarakat antarabangsa.
 
Perang saudara yang berpanjangan sejak lebih enam tahun lalu, telah meranapkan sama sekali kemudahan infrastruktur negara berkenaan.
 
Di beberapa kawasan seperti Aleppo, Homs dan Latakia, bekalan elektrik hanya bergantung kepada mesin penjana atau generator sebagai sumber utama. Sebelum ini, kekurangan bahan api untuk menggerakan bekalan elektrik antara penyumbang angka kematian mereka yang dirawat di hospital di mana sebahagian besar mangsa yang cedera dan menderita penyakit kronik, gagal diselamatkan.
 
Jumlah korban yang telah mencecah 600,000 jiwa dijangka akan terus meningkat sekiranya penghantaran bantuan dalam tempoh masa terdekat gagal diusahakan. Saban tahun ia menjadi bertambah berisiko kerana skala kemusnahan menjadi semakin luas khususnya bagi mereka yang terkepung seperti di ldlib dan Aleppo.
 
Berbeza dengan kepungan Israel ke atas Gaza atau bencana kemarau di Darfur, Sudan, misi kemanusiaan ke Syria juga amat payah untuk digerakkan oleh masyarakat antarabangsa khususnnya yang membabitkan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
 
Kewujudan pelbagai kumpulan bertelagah seperti Negara Islam IS, pecahan kumpulan penentang dan ancaman paling besar daripada tentera yang setia kepada Presiden Bashar al Assad menyebabkan misi penghantaran bantuan kemanusiaan menjadi amat berisiko.
 
Percubaan terkini masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan juga tidak dapat diteruskan selepas 30 konvoi yang membawa bekalan makanan, ubatan dan pakaian di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang.
 
Dalam kejadian pada 21 September lalu, 18 konvoi musnah sama sekali sehingga ia memaksa badan dunia berkenaan menangguhkan penghantaran misinya di Syria. Keadaan itu menyebabkan mereka yang tersepit seolah-olah menanti dijemput ajal.
 
Keprihatinan masyarakat luar khususnya daripada saudara Islam di serata dunia dicabar dek keangkuhan kuasa sang pemerintah dan kebuasan kumpulan bertelagah. Yang menjadi mangsa, mereka yang tidak berdosa.
 
Bagi penulis yang tidak seberapa pengetahuan agama, penghantaran misi kemanusian kepada pelarian ke Syria satu usaha murni yang mungkin sama taraf dengan jihad.
 
Mungkin berdasarkan apa yang berlaku, Majlis Fatwa Kebangsaan mempunyai jawapannya. Pencerahan itu perlu disegerakan memandangkan timbulnya pendapat kumpulan tertentu yang mendakwa kononnya penghantaran misi kemanusian ke negara bergolak itu bagi membantu IS.
 
Realitinya, jumlah korban sebenar yang mungkin mencecah sejuta nyawa menjadi konflik berdarah terbesar pertembungan mazhab antara Ahlu Sunnah dengan Syiah dalam sepanjang sejarah Islam selain mencipta rekod krisis kemanusiaan paling buruk di abad ini.
 
Razali Awang Abdullah
Penulis adalah bekas Wartawan Krisis Antarabangsa

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *