PADAN MUKA TRUMP

Ugutan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk menghentikan bantuan ke atas mana-mana negara yang menyokong resolusi yang dibuat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, PBB yang menentang keputusannya untuk memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis tidak memberi sebarang kesan.
 
Resolusi Perhimpunan Agung PBB (UNGA) tergempar yang tidak mengikat itu memutuskan bahawa langkah diambil Trump itu, sebagai tidak sah dan batal, dengan 128 undi menyokong, sembilan menentang dan 35 negara berkecuali manakala 21 lagi tidak mengundi.
 
Sebaik keputusan pengundian diumum, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu memuat naik status di Twitternya dengan mengecam Amerika Syarikat.
 
Beliau menyifatkan ugutan untuk menarik balik bantuan yang diberikan kepada negara lain sekiranya menyokong resolusi PBB sebagai perbuatan tidak beretika dan maruah negara anggota tidak dijual.
 
Mengulas mengenai sokongan besar yang diperolehi, jurucakap kepada Presiden Palestin, Mahmoud Abbas menyifatkannya sebagai kemenangan besar.
 
Nabil Abu Rudeina dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu menunjukkan Palestin mendapat sokongan masyarakat antarabangsa, dan tiada keputusan yang dibuat oleh mana-mana pihak dapat mengubah realiti bahawa Baitulmaqdis adalah wilayah yang dijajah.
 
Reaksi yang sama diberikan Ketua Perunding Palestin, Saeb Erekat.
 
“Ia hari yang memalukan kepada sesiapa sahaja yang bersama-sama dengan penjajahan dan pendudukan yang melanggar undang-undang antarabangsa.
 
“Kami menghargai keputusan majoriti komuniti antarabangsa yang berdiri teguh dengan kebijaksanaan, pandangan yang jauh, undang-undang antarabangsa dan kedaulatan undang-undang – bukannya peraturan hutan, walaupun diancam dan diugut oleh Amerika,” katanya sebagaimana dilapor al Jazeera.
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *