TURUN PADANG SAMPAI ISU SYRIA

Pelbagai pendekatan digunakan Syria Care Malaysia atau Syria Care, dalam usahanya memupuk kesedaran orang ramai khususnya rakyat negara ini mengenai konflik yang berlaku di Syria.
 
Selain menggerakkan pelbagai usaha melalui laman sosial seperti Facebook dan Instagram, ia juga telah turun padang bagi memastikan mesej berkenaan mencapai sasaran.
 
Karnival Planet Ummah yang berlangsung di Putrajaya pada 30 November hingga 3 Disember lalu, antara pendekatan ke arah itu yang digunakan Syria Care.
 
Pelancaran Tabung Kemanusiaan Syria Care telah disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas selesai menunaikan solat Jumaat.
 
Sebagai simbolik pelancaran, beliau memasukkan bayaran zakat yang diserahkan QSR Brands (M) Holdings Sdn Bhd ke dalam tabung di perkarangan Masjid Putrajaya.
 
Pada majlis yang sama juga, Ahmad Zahid turut menghulurkan sumbangan peribadinya dengan disaksikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, para hadirin serta media.
 
Karnival yang berlangsung selama empat hari turut diselitkan dengan pelbagai slot termasuk program Bicara Kemanusiaan Syria Care yang menampilkan beberapa panel.
 
Selain Pengerusi Syria Care, penyanyi muda yang sedang meningkat naik, Khai Bahar antara yang mencuri tumpuan pengunjung karnival.
 
Kehadiran ahli akademik Profesor Madya Dr. Mohd Nor Mamat dari UITM Shah Alam sebagai panel bersama Siti Sakinah serta pelantun lagu Bayang itu, mengupas pandangan mengenai Syria dalam dimensi berbeza.
 
Jika Dr. Mohd Nor memberi penekanan kepada keharmonian hidup bersama dengan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di Syria, Siti Sakinah pula membuka tirai penderitaan yang dilalui rakyat negara itu sejak lebih tujuh tahun lalu selepas bangkit menentang kezaliman Presiden Bashar al Assad dan konco-konconya.
 
“Sebagaimana anda saksikan tadi, kekejaman dan kerosakan yang telah berlaku disebabkan peperangan telah berlangsung sejak 2011. Mulai saat itu hingga ke hari ini, tidak pernah ada satu haripun kita tidak mendengar khabar berita sahabat-sahabat kita di sana diburu maut pada setiap ketika”, kata Siti Sakinah ketika mengulas tayangan video yang dikongsi bersama hadirin.
 
Jika Pengerusi Syria Care berkongsi cerita dan pengalamannya di lapangan bersama pelarian, Khai Bahar yang turut membuat persembahan di malam itu, turut bercerita kisahnya bersama pelarian ketika Kembara Jiwa dan Kemanusiaan Syria Care di Istanbul, bulan lalu.
 
“Kekuatan nampak pada diri dia orang,” kata Khai yang berpeluang bersama anak yatim dan pelajar tajaan Syria Care semasa di sana.
 
Program Bicara Kemanusiaan Syria Care yang berlangsung hampir sejam setengah diakhiri dengan persembahan lagu Hero dan Luluh oleh Khai Bahar.
 
#SCNews

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *