SYRIA: RUSIA UNDUR, AS KEKAL

 
 
Amerika Syarikat akan terus mengekalkan tenteranya di Syria meskipun seterusnya Rusia mula menarik keluar askarnya dari negara itu.
 
Kenyataan berkenaan dibuat jurucakap Pentagon Kolonel Rob Manning yang memaklumkan dasar itu diteruskan meskipun usaha memerangi IS telah sampai ke penghujung.
 
“Amerika Syarikat akan mengekalkan kehadiran tenteranya di Syria bagi memerangi mencegah kebangkitan semula IS dan menstabilkan kawasan berkenaan,” katanya yang dipetik Al Jazeera.
 
Kenyataan yang dibuatnya selari dengan pendirian yang dinyatakan sebelum ini oleh Setiausaha Pertahanan Jim Mattis bulan lalu, bahawa Amerika Syarikat tidak akan tinggalkan usaha-usaha yang dilakukan di Syria selama ini.
 
Minggu lalu, Pentagon mengesahkan terdapat sekitar 2,000 tentera Amerika Syarikat di Syria, empat kali lebih ramai daripada yang didedahkan kepada media sebelum ini.
 
Jumlah itu jauh lebih kecil jika dibandingkan kehadiran tentera Rusia yang mana angkanya mencecah 10,000 orang.
 
Sementara itu, penganalisis politik Lubnan, George Alam berpandangan, pengunduran yang diumum Presiden Vladimir Putin bukannya bersifat mutlak.
 
“Ini bukannya pengunduran kerana Rusia masih mengekalkan pengkalan udara dan tentera lautnya”, katanya sebagaimana laporan yang disiarkan Al Jazeera.
 
“Putin pernah berkata, jika pengganas datang balik, kami akan serang mereka. Jadi ini bermakna kekuatan tentera Rusia masih wujud di Syria’, katanya.
 
Alam berpendapat, arahan yang dibuat Presiden Rusia itu mempunyai matlamat berbeza.
 
Ia dilihat mesej jelas kepada Amerika Syarikat dan keputusan yang diambilnya berbentuk politik yang mendesak masyarakat antarabangsa supaya mengenakan tekanan kepada Washington supaya menarik keluar askarnya dari Syria.
 
Tambahnya, cara itu dilakukan kerana Moscow melihat kehadiran tentera seterunya di negara itu adalah tidak sah.
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *