PERANCIS DALANG PENGGANAS-BASHAR

Dakwaan Perancis menyokong pertumpahan darah di Syria sama sekali tidak boleh diterima.
 
Ketegasan itu dinyatakan Presiden Emmanuel Macron selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.
 
Katanya, sejak dari awal lagi secara jelas Paris menentang setiap musuh di Syria, iaitu Daesh.
 
Reaksi itu diberikan susulan tuduhan yang dibuat Presiden Bashar al Assad ke atas negaranya yang dituduh mendalangi keganasan di Syria.
 
“Perancis menjadi dalang menyokong keganasan dan terbabit dengan pertumpahan darah di kalangan rakyat Syria sejak hari pertama dan kita tidak nampak ia mengubah dasarnya,” dakwa Bashar selepas mengadakan mesyuarat dengan delegasi Rusia di Damsyik pada Isnin.
 
Pada masa yang sama dia menempelak Macron dan mendakwa mereka yang menyokong keganasan tidak mempunyai hak untuk bercakap mengenai rancangan damai.
 
Meskipun menjadi penyokong kuat pembangkang Syria, di bawah kepimpinan Macron, Perancis dilihat mengambil pendekatan lebih pragmatik untuk mengatasi konflik yang berpanjangan lebih tujuh tahun dan mengorban hampir setengah juta nyawa itu.
 
Tegasnya, Paris akan memberi tekanan untuk bagi diadakan perbincangan damai dengan semua pihak terbabit termasuk Bashar.
 
Menurut laporan yang dipetik dari agensi berita France 24, inisiatif itu akan dibuat awal tahun depan.
 
Bagaimanapun dalam kenyataannya, Macron tidak menyatakan bagaimana cadangan yang dibuat berkait dengan rundingan damai sedia ada yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu-PBB, yang mengkehendaki pemimpin Syria sedia ada perlu diseret ke muka pengadilan atas jenayah yang dilakukan.
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *