KENYATAAN MEDIA SYRIA CARE MENGENAI SERANGAN HOSPITAL AL SALAM

Syria Care Malaysia mengutuk keras serangan yang dlakukan tentera regim Presiden Bashar al Assad dan sekutunya ke satu-satunya hospital bersalin yang masih beroperasi di Ma’arat al-Nu’man di Idlib.
 
Dalam serangan udara yang dilancarkan ke atas Hospital Salam pada jam 11.30 pagi waktu tempatan atau 5.30 petang waktu Malaysia, semalam, ia mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa termasuk bayi yang baru dilahirkan serta mencederakan berpuluh lagi yang lain.
 
Tindakan tidak berperikemanusiaan ke atas hospital yang dikendali Syrian American Medical Society (SAMS) adalah kali ketiga dalam tempoh empat hari, telah menyebabkan kerosakan teruk.
 
Ekoran kerosakan yang dialami semua operasinya terpaksa dipindah ke kawasan lain yang lebih selamat.
 
Hospital Salam menjadi nadi di kawasan berkenaan yang memberikan perkhidmatan khusus kepada wanita mengandung serta bersalin dan pada setiap bulan dianggarkan antara 8,000 hingga 9,000 pesakit menerima rawatan di situ.
 
Bulan lepas sahaja, ia menyambut lebih 674 kelahiran.
 
Berikutan pembantaian berterusan dan serangan bertubi-tubi ke atas hospital awam, khususnya di Idlib, Hama dan Timur Ghoutah, Syria Care mendesak supaya kerajaan Malaysia serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) lain menyuarakan bantahan supaya ia dihentikan segera.
 
Berikut senarai siri serangan yang dilakukan tentera regim Presiden Bashar al Assad dan sekutunya dalam tempoh empat hari.
 
3 Januari, 2018
Jam 11:30 pagi serangan kali ketiga dalam masa seminggu memusnahkan Hospital al Salam di Maaratul Nu’man, Idlib. Sekurang-kurangnya lima maut termasuk bayi yang baru lahir.
 
2 Januari , 2018
Jam 5 petang, The Al Magara Cave Hospital di Kafr Zeita, Hama, terjejas akibat tiga siri serangan udara yang menyebabkan kerosakan struktur. Tiada kematian dilaporkan dalam serangan berkenaan. Pada masa sekarang hospital bedah itu memberi perkhidmatan kepada lebih 7,000 pesakit setiap bulan dengan purata 150 pembedahan pada setiap bulan.
 
31 Disember 2017
Jam 2:30 petang, pusat rawatan Harasta di Timur Ghoutah telah dibom dan menyebabkan kerosakan. Dua jururawat cedera.
 
31 Disember 2017
Jam 12:55 petang, Hospital al Salam di Maarrat al Nu’man, Idlib, diserang dan mengalami kerosakan kecil serta masih beroperasi seperti biasa.
 
30 Disember 2017
Jam 3:25 petang, gudang yang membekalkan ubat-ubatan di Maarat al Nu’man, Idlib, terjejas teruk selepas terkena bom berangkai. Tiada kematian dan kecederaan dilaporkan.
 
30 Disember 2017
Seorang sukarelawan perubatan maut sebuah hospital di Timur Ghoutah maut dalam siri pengeboman meriam ke atas Harasta.
 
Berdasarkan kronologi siri serangan yang mensasarkan hospital, kakitangan perubatan dan orang awam, Syria Care meminta supaya kerajaan Malaysia dan NGO lain bersama bertindak untuk menghentikan keganasan dan serangan ke atas rakyat Syria.
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *