BASHAR BANTAI IDLIB

Lebih 20 maut dan berpuluh yang lain cedera dalam siri serangan bom terbaru di Idlib, Syria.
 
Menurut Syrian Observatory for Human Rights (SOHR), letupan yang berlaku pada Ahad telah mensasarkan ibu pejabat salah satu serpihan kumpulan penentang kerajaan.
 
Menurut laporan yang dipetik TRT World, tiada kesahihan mengenai letupan yang berlaku, sama ada berpunca akibat serangan udara tentera Rusia atau bom kereta.
 
Wilayah Idlib yang bersempadan dengan Turki itu menjadi kubu kuat kumpulan penentang anti regim Presiden Bashar al Assad dan ia menjadi sasaran tentera kerajaan sejak Oktober tahun lalu untuk menawan semula.
 
Kebanyakan kawasannya berada di bawah kuasa Tahrir-al Sham, yang pernah bersekutu dengan Al Qaeda yang sebelum ini dikenali sebagai Nusra Front.
 
Sejak 2015, Damsyik kehilangan Idlib berkenaan selepas ia dikuasai kumpulan anti kerajaan serta menjadi satu-satunya wilayah yang berada sepenuhnya di bawah kuasa seterunya.
 
Selepas kejatuhan Raqqa, Bashar dan sekutunya cuba mengukuhkan cengkaman untuk menguasainya dan terbaru Sinjar, bandar yang dianggap strategik, dilapor telah berjaya ditawan, semalam.
 
Ia dijangka akan memberi laluan mudah kepada tentera kerajaan untuk menguasai semula Pengkalan Udara Abu Zuhour yang berada 19 kilometer di utara bandar Idlib.
 
Pertempuran yang berlaku telah memaksa ribuan penduduk menyelamatkan diri ke kawasan selamat yang bersempadan dengan Turki.
 
Ketiadaan bantuan kemanusiaan dan diburukkan lagi dengan cuaca sejuk melampau mendedahkan pelarian dengan pelbagai risiko.
 
Razali Awang
Media Syria Care
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *