AMERIKA CUBA BELAH SYRIA

Pengumuman Amerika Syarikat mengenai rancangannya untuk mewujudkan 30,000 Tentera Pelindung Sempadan Syria dengan sekutunya Syrian Democratic Forces (SDF) berserta Yekîneyên Parastina Gel (YPG) yang didokong puak Kurdish akan mendatangkan bala kepada kedaulatan wilayah Syria.
 
Bukan setakat itu, pelan berkenaan juga akan mendatangkan masalah besar kepada Turki yang berkongsi sempadan dengan negara itu.
 
Mengulas isu berkenaan, Menteri Luar Rusia berkata, perbuatan Washington akan memburukkan lagi masalah antara Ankara dengan puak Kurdish.
 
Berikutan perkembangan terbaru yang berlaku,Turki telah menambah kekuatan tenteranya di kawasan sempadan.
 
Agensi berita Anadolu melaporkan berpuluh kenderaan tentera telahpun memasuki daerah Reyhanli yang terletak di tenggara wilayah Hatay.
 
Dalam perkembangan yang sama 20 kenderaan tentera termasuk kereta kebal kini ditempatkan di Viransehir di Sanliurfa.
 
Mereka dikerah bagi membantu tentera sedia ada di kawasan sempadan.
 
Tindakan itu diambil selepas Presiden Recep Tayyip Erdogan berikrar akan membuat operasi tentera di bandar Afrin, yang terletak di bahagian utara Syria bagi memerangi YPG, yang menguasai bandar berkenaan.
 
Beliau yang berang dengan tindakan Washington, menuduh Amerika Syarikat telah bekerjasama membentuk tentera pengganas di bahagian selatan negaranya dengan memberi latihan ketenteraan termasuk kepada pemberontak Kurdish.
 
Terdahulu, tanpa berunding dengan Turki dan Rusia, White House mengambil langkah sendiri dengan menubuhkan Tentera Pelindung Sempadan Syria, wal hal kawasan berkenaan berada di bawah pengaruh Ankara.
 
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *