RUSIA HALANG BAWA KELUAR PESAKIT

 Pentadbiran regim Bashar al Assad tidak memberi sebarang reaksi berhubung rayuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membawa keluar 700 pesakit kritikal dari Timur Ghoutah.
 
Bahkan permintaan berkenaan ditempelak Rusia yang menjadi sekutu kuat Damsyik yang menyifatkan permintaan itu sebagai tidak “realistik”.
 
Terdahulu, badan dunia itu telah meminta supaya serangan udara yang mengorban ratusan nyawa di kawasan berkenaan dihentikan.
 
Ia sama sekali tidak diendah regim dan konco-konconya yang terus bertindak memperkukuh kedudukan tentera bagi melancarkan serangan darat besar-besaran ke atas kawasan yang dihuni 400,000 penduduk.
 
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Sweden, ia menyifatkan krisis kemanusiaan yang berlaku paling teruk dunia pernah saksikan.
 
Negara Scandinavia itu bersama beberapa negara lain, termasuk Kuwait telah merangka deraf resolusi kepada Majlis Keselamatan bagi mendesak gencatan senjata dibuat selain jaminan kepada kebenaran kepada misi kemanusiaan untuk menghantar bantuan selain membenarkan mereka yang sakit dibawa keluar dari Timur Ghoutah.
 
Rabu lalu buat pertama kali dalam tempoh tiga bulan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjaya menghantar 1.8 tan bekalan ubat-ubatan, yang mampu menampung 10,000 rawatan.
 
Bagaimanapun jika dinisbah dengan keperluan, ia amat kecil.
 
Menurut Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, penghantarannya begitu terhad dan hanya dapat menampung 7,200 orang.
 
Pengarah Program Makanan Dunia bagi Syria, Jakob Kern di laman Twitternya berkata, lebih banyak konvoi sebegitu diperlukan.
 
 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *