GENCATAN SENJATA LIMA JAM SEHARI-PUTIN

Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang yang menuntut gencatan senjata 30 hari di Syria diingkari Rusia.

Sebaliknya Moscow menetapkan syarat lain, yang sama sekali tidak diputuskan pada mesyuarat badan dunia itu pada Sabtu lalu.

Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu berkata, Presiden Vladimir Putin telah mengarahkan gencatan senjata dibuat secara harian di Timur Ghoutah, bermula dari jam 9 pagi hingga 2 petang.

Bagaimanapun, beliau tidak memberi penjelasan lanjut sama ada sekutunya, Presiden Bashar al Assad dan konco-konco yang lain bersetuju untuk melaksana gencatan senjata yang hanya dilaksana lima jam sehari.

Menurut kenyataan yang dipetik daripada agensi berita RIA, tempoh masa itu bagi membolehkan orang awam yang terperangkap di kawasan pertempuran keluar ke kawasan lain.

Ia sama sekali bercanggah dengan kesepakatan yang dicapai negara anggota Majlis Keselamatan PBB sebelum ini yang meminta semua pihak di Timur Ghoutah akur dengan keputusan resolusi yang dibuatnya.

“Timur Ghoutah tidak boleh tunggu, masa amat terdesak untuk memberhentikan neraka di atas muka bumi,” kata Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva yang mendesak gencatan senjata dilaksanakan segera.

Kedegilan Putin dan Bashar serta sekutunya yang lain untuk akur dengan ketetapan yang dibuat menyebabkan penghantaran konvoi kemanusiaan di bawah panji PBB terkandas.

“PBB telah menggerakkan dan bersedia untuk menghantar konvoi bantuan kecemasan juga ratusan peralatan perubatan ke beberapa bahagian di Timur Ghoutah dengan seberapa segera sebaik keadaan mengizinkan,” kata jurucakap PBB Linda Tom melalui email kepada agensi berita Turki, TRT.

Sejak resolusinya diputuskan hujung minggu lalu, serangan udara dan pengeboman ke atas kawasan di pinggir Damsyik itu berkurangan sedikit berbanding sebelumnya.

Bagaimanapun ia masih memakan korban nyawa yang ramai di mana lebih 30 jiwa melayang di tangan regim Bashar dan sekutunya dalam tempoh 48 jam.

Ia tidak termasuk dengan serangan senjata kimia termasuk gas klorin ke kawasan berkenaan pada Ahad.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *