UMPAN PUTIN GAGAL

Gencatan senjata lima jam di Timur Ghoutah yang diumumkan Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak memberi sebarang manfaat kepada orang awam yang terkepung.

Bukan setakat berterusan dicabul tenteranya sendiri dan regim Bashar al Assad, tempoh masa yang diberikan juga jauh dari mencukupi untuk mereka keluar ke kawasan lain.

Sejak diumumkan beliau Isnin lalu, ia langsung tidak mendapat reaksi daripada orang awam yang memilih untuk terus bertahan di Timur Ghoutah.

Dari jumlah saki baki 400,000 yang masih berada di situ, sehingga Khamis hanya dua orang telah memilih untuk keluar dari Douma, iaitu pasangan tua berketurunan Pakistan yang bermastautin lebih 40 tahun di kawasan berkenaan.

Menurut agensi berita Kuwait, Kuna, itupun dibuat selepas rundingan yang memakan masa berbulan-bulan.

TRT World melaporkan, penduduk Timur Ghoutah sama sekali tidak mempercayai pengumuman gencatan senjata yang diumum Putin kerana pengalaman lalu.

“Penduduk Timur Ghoutah khuatir kawasan mereka akan menerima nasib yang sama seperti timur Aleppo yang sebelum ini dikuasai kumpulan penentang, di mana Rusia mengarahkan penduduk untuk meninggalkan kawasan itu dan mengarahkan kumpulan anti kerajaan meletakkan senjata,” petik laporan itu.

Sebaik persetujuan dicapai, mereka telah dikhianati apabila regim Bashar dan sekutunya bertindak melancarkan serangan darat besar-besaran bagi menawannya pada Disember 2016.

Mengulas mengenai gencatan senjata tanpa restu Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diumum Putin minggu lalu, Ketua Kumpulan Petugas Kemanusiaan PBB bagi Syria, Jan Egeland berkata ia amat singkat sama ada untuk menghantar bantuan atau memindahkan orang awam yang terperangkap.

“Saya tahu tiada mana-mana pelaksana kemanusiaan yang fikir bahawa tempoh masa lima jam adalah mencukupi untuk membolehkan kita menghantar bantuan ke Timur Ghoutah dan menguruskan usaha bagi membawa keluar perubatan secara teratur,”

Dalam kenyataan yang sama, beliau juga menempelak Bashar kerana sehingga kini pihaknya tidak mendapat sebarang surat hitam putih bagi membolehkan penghantaran bantuan dihantar ke kawasan berkenaan.

Begitu juga dengan gencatan senjata yang cuba dikuatkuasa badan dunia itu.

“Sejak ia diterima, ia tidak menjadi lebih baik, ia jadi lebih teruk,” katanya seperti yang dilapor TRT World.

Egeland memberikan reaksi itu selepas tentera Rusia mendakwa kumpulan penentang menyerang laluan keluar yang dibuat Moscow dan sekutunya dalam usaha memindah penduduk Timur Ghoutah ke kawasan lain.

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *