GADAI NYAWA AGIH BANTUAN

Serangan udara bertubi-tubi dan kematian anggota petugas seperti Amin Hallaq bulan lalu tidak menghalang Syria Care untuk meneruskan misi bantuan kemanusiaannya di beberapa lokasi di Timur Ghoutah.
 
Meskipun kawasan yang dihuni 400,000 penduduk itu kini diasak dari udara dan darat, Syria Care meneruskan amanah yang diberikan penyumbang bagi meneruskan misi di kawasan berkenaan.
 
Di bawah kutipan yang dibuat melalui Tabung Kecemasan Ghoutah Februari 2018, agihan makanan telah disempurnakan pada 27, 28 Februari dan 1 Mac 2018.
 
Sepanjang tempoh berkenaan, 950 pek makanan telah diagihkan kepada lebih 3800 penduduk di sekitar Arbin, Sakba dan Beit Sawa di Timur Ghoutah.
 
Menurut Pengerusi Syria Care, Siti Sakinah Meor Omar Baki, setiap pek makanan yang dibekalkan, ia menampung keperluan untuk empat orang.
 
Katanya, ia disediakan mengikut keperluan setempat dan diagih oleh rakan kongsi iaitu Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.
 
“Sebenarnya di sana ada badan induk yang mengawasi agihan. Jadi mereka yang akan tentukan ke mana bantuan akan pergi. Ia dibahagi mengikut nama keluarga dan tempat yang ditentukan NGO tempatan yang menjadi rakan kongsi Syria Care di sana,” kata Siti Sakinah.
 
Jelasnya lagi, meskipun penyediaan makanan memakan kos yang amat tinggi di Timur Ghoutah, perkara itu perlu dilakukan kerana keadaan yang amat kritikal di sana.
 
“Bahan makanan masih boleh didapati tetapi ia mahal dan orang kebanyakan tidak mampu untuk membeli,”jelasnya.
 
Kepungan yang dibuat tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas kawasan berkenaan menyebabkan sebahagian besar penduduk di situ terputus bekalan makanan dan ubat-ubatan.
 
Pelbagai bentuk serangan dan pengeboman sejak 18 Februari lalu menjadikan Timur Ghoutah ibarat neraka atas muka bumi.
 
Namun begitu, Siti Sakinah berkata, dalam apa jua situasi, pihaknya akan cuba melunaskan amanah yang diberikan penyumbang, “Sumbangan anda masih berbaki dan Insya Allah, ia akan diagih dalam tempoh masa terdekat,” katanya yang merujuk kepada sumbangan yang diterima melalui Tabung Kecemasan Ghoutah Februari 2018.
 
Menyentuh mengenai tajaan anak yatim, dia berkata agihan akan berjalan seperti biasa.
 
“Mungkin ada kelewatan sedikit dari segi agihan sebab keadaan semasa tetapi kita sudah pun menghantar wang mereka dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk diberi,”jelasnya.
 
Pada masa sekarang hampir 600 anak yatim di dalam Syria yang ditaja rakyat Malaysia melalui Syria Care.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *