SENGSARA PELARIAN PALESTIN TIADA KESUDAHAN

Pelarian Palestin yang berjaya keluar dari Kem Yarmouk mendakwa masih ramai yang terperangkap di kawasan berkenaan kerana terlalu berisiko untuk keluar menyelamat diri.

Mereka mendakwa pengeboman serta kepungan oleh tentera regim Bashar al Assad dan konco-konconya telah menyebabkan mangsa terperangkap.

Menurut pelarian, berikutan serangan bertubi-tubi yang dilakukan bagi mengusir kumpulan anti kerajaan IS di situ, penduduk kawasan hanya mampu berlindung di ruang bawah tanah bagi mengelak dari menjadi mangsa.

Agensi Kerja dan Bantuan Untuk Pelarian Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA) mendakwa 1,000 orang masih terperangkap.
Katanya, sejak 19 April lalu, ddianggarkan lebih 5,000 orang awam telah berjaya keluar dari Kem Yarmouk melalui perkampungan Yalda.

“Keadaan yang dialami pelarian Palestin di Kem Yarmouk tidak boleh digambarkan.

“Ribuan kediaman telah musnah dan satu-satunya hospital yang ada tidak dapat dibuka kerana serangan. Kami merayu semua pihak untuk menyelamatkan nyawa orang awam dan infrastruktur. Keadaan yang mereka tempuhi adalah amat sedih,” kata Jurucakap UNWRA, Chris Gunness.

Perkara yang sama turut dikongsi Muawiya Muhammad, yang bertugas sebagai doktor di Yalda.

Katanya, kebanyakan yang terperangkap terdiri daripada orang tua serta mereka yang sakit dan kini tiada siapa menjaga mereka.

“Meskipun ketika tiada kepungan, keadaan perubatan amat teruk di situ.
Peratusan besar mereka dijangkiti penyakit kerana tiada kebersihan seperti demam tifoid dan hepatitis A telah merebak di kem,” katanya kepada agensi berita kemanusiaan, IRIN.

Kem Yarmouk sebelum konflik Syria menjadi kawasan penempatan pelarian Palestin terbesar dan menjadi simbol kemanusiaan.

Bagaimanapun sebaik perang saudara tercetus, ia menjadi sasaran dan terbahagi kepada beberapa bahagian.

Pada Julai 2013, tentera regim dan konco-konconya melakukan kepungan yang dahsyat ke atas kawasan itu.

Gambar-gambar yang dirakam pada 2014 menjadi simbol penderitaan pelarian Palestin yang kebuluran akibat taktik itu.

Pada Mac 2014, sekurang-kurangnya 194 orang dilaporkan mati kerana kebuluran akibat kepungan yang dilakukan.

Penderitaan itu, memaksa mereka memakan apa sahaja untuk hidup termasuk menyembelih kucing dan anjing.

Meskipun regim dan konco-konconya kemudian menarik balik kepungan di tahun itu, namun UNWRA masih gagal menyalurkan bantuan kerana ia kemudian dikuasai kumpulan IS pada 2015.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *