Daraa: Jordan tolak rayuan dunia

Jordan tetap dengan pendiriannya untuk tidak akan tunduk dengan tekanan masyarakat antarabangsa yang mendesak Amman supaya membuka sempadannya dengan Syria.

Komander Pemerintah Wilayah Utara, Jeneral Khaled al Massaid, menegaskan tentera negara itu sama sekali tidak akan membenarkan mana-mana pelarian Syria memasuki wilayahnya.

Jelasnya, keputusan berkenaan dibuat bagi mengelak “pengacau” menyelusup masuk bersama pelarian.

Menurut beliau, walaupun menutup pintu sempadan, Jordan tetap menghantar bantuan kemanusiaan dan perubatan ke dalam wilayah Syria.

Katanya, sejak tiga hari lalu, lebih 86 trak telah menyeberangi sempadan.

Kenyataan itu diberikan selepas Pesuruhjaya Tinggi bagi Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Liz Throssel mendesak negara berkenaan supaya membuka sempadan kepada pelarian Syria.

“Kami meminta semua pihak yang terbabit dalam konflik supaya melindungi orang awam di selatan Syria dan melindungi mereka yang cuba melarikan diri,”katanya kepada Reuters.

Jumlah pelarian Syria di sempadan Jordan dan Israel meningkat dengan mendadak selepas regim Bashar al Assad melancarkan serangan ke atas Daraa.

Sehingga Isnin, hampir 300,000 pelarian telah berada di kawasan berkenaan dan percubaan mereka untuk mendapat perlindungan di negara jirannya telah disekat.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *