Tunggu masa serang Idlib

Serangan tentera regim Bashar al Assad dan sekutunya ke atas kedudukan anti kerajaan di Idlib akan memburukkan lagi keadaan sedia ada yang sebelum ini menjadi kawasan “buangan kumpulan penentang dan penyokong mereka.
 
Menurut Health Cluster Bulletin, sekiranya berlaku, ia akan mengakibatkan lebih 700,000 penduduk menjadi pelarian, jumlah berkali ganda jika dibandingkan dengan mangsa pertempuran terkini di Daraa dan barat laut Syria.
 
Katanya, sebarang operasi ke atas Idlib akan menjadi satu lagi bencana kemanusiaan kerana pada masa sekarang terdapat lebih 2.5 juta pelarian dalam negara (IDP) yang mencari perlindungan di situ termasuk mereka yang diusir dari tempat asal.
 
“ Ia akan menyebabkan pertambahan keperluan bantuan kemanusiaan kerana serangan baru terutamanya perkhidmatan kecemasan kesihatan,” petik laporan itu.
Menurut buletin bulanan yang diterbitkan di bawah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) itu, para petugas bantuan telah bersedia untuk menghadapi sebarang situasi.
Sebelum ini, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulangkali memberi amaran mengenai bahaya serangan ke atas Idlib.
 
Ia dikatakan hanya menunggu masa untuk dilancarkan kerana ketika ditemuramah media Rusia bulan lalu, Presiden Bashar secara terang-terangan berkata wilayah itu menjadi keutamaan selepas kawasan yang dikuasai kumpulan penentang di selatan Syria berjaya dikuasai semula.
 
Dalam kenyataannya Jun lalu, Penyelaras Kemanusiaan PBB, Panos Moumtzis memberi amaran, seandainya diserang, ia akan menjadikan keadaan lebih rumit dan lebih ganas dari apa yang pernah berlaku sepanjang tujuh tahun konflik di negara berkenaan.
 
Katanya, pertempuran akan menyebabkan penduduk dan pelarian di kawasan itu akan mara dan berasak ke kawasan sempadan Turki dan akan mencetuskan ketegangan baru di situ.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *