Siapa peduli pasal Syria?

 

Syria sebuah negara yang mempunyai sejarah panjang dengan pelbagai nama yang pernah memberi sumbangan besar terhadap tamadun manusia.

Namun Syria yang wujud pada hari ini, tidak lagi melestari warisan masa lalu, terutama selepas Mac 2011, di mana konflik berdarah telah merubah segala pola penduduk dan geo politik yang pernah ada di negara itu.

Sepanjang tempoh itu 500,000 nyawa rakyatnya melayang sama ada dibunuh atau terbunuh.

Hampir 13 juta menjadi pelarian di mana lebih 5 juta bergelandangan di negara jiran untuk menyelamatkan diri dan selebihnya menjadi pelarian dalam negara (IDP).

Dari sebuah negara yang makmur dan dikenali dunia kerana warisan sejarah dan kecantikan alam, ia kini punah-ranah.

Dunia tahu azab, sengsara dan derita orang awam yang tersepit kerana konflik. Mereka yang seagamapun tahu, tetapi hanya sekadar tahu bukan hendak ambik tahu.

Jika ditanya secara rambang, mengenai apa yang berlaku di Syria, mereka tahu negara itu sedang berperang, namun jika ditanya lagi berapa ramai yang tahu, peduli dan prihatin dengan apa yang berlaku? Pelbagai reaksi serta jawapan yang akan diberikan.

Pastinya ada sahaja perbezaan pandangan, percanggahan dan adakalanya sampai ke tahap perbalahan.

Ia fenomenan sama seperti Syria. Tahukah anda bahawa terdapat lebih 105 kumpulan anti kerajaan negara itu yang menentang pentadbiran regim Bashar al Assad? Terlalu banyak fikrah sehingga menjadikan penenetangan mereka tidak berkesan.

Syria punah kerana ia menjadi lokasi perang proksi negara berkepentingan, Rusia, Iran, Amerika Syarikat, Arab Saudi, Turki dan berbelas lagi, semuanya ada di bumi Syam.

Dalam keadaan tersepit, sebahagian besar rakyatnya melihat serta meletak harapan kepada orang luar untuk membantu menggembalikan keamanan yang pernah dikecapi, tetapi ia tidak berlaku kerana terlalu banyak tangan dan watak dalam satu wayang. Masing-masing ada berkepentingan.

Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan awal-awal konflik yang berlaku di Afghanistan pada Disember 1979, di mana dunia Islam bangkit bersatu dalam satu suara menentang pencerobohan Rusia dan pelantikan Babrak Kamal sebagai boneka di negara itu.

Malaysia sendiri telah mengambil tindakan tegas dengan memboikot Sukan Olimpik di Moscow pada 1980. Ia keputusan berat memandangkan buat kali kedua dalam sejarah temasya sukan dunia, pasukan bolasepak negara berjaya melayakkan diri.

Ketegasan itu membawa mesej jelas bahawa nyawa rakyat Afghanistan yang sedang berjuang menentang pencabulan tentera Soviet Union, tiada nilai.

Namun hari ini, kesepaduan itu tidak berlaku dalam isu Syria. Bahkan resolusi demi resolusi oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), siri persidangan di Geneva dan Sochi, tidak membawa sebarang makna kerana dunia membutakan mata tanpa suara lantang membela berbelas juta rakyat negara itu yang terancam dari segala segi.

Dunia Islam tidak lagi boleh diharap. Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC) hanya sekadar menjadi saksi yang pekak dan bisu “O I See”.

Harapkan Liga Arab, lagilah. Tiada sebarang usaha sebaliknya negara anggota sibuk berbalah sesama sendiri. Perang diplomatik antara negara yang diketuai Arab Saudi ke atas Qatar, telah meletakan usaha mencari penyelesaian agenda terkebelakang. Itu tidak diambil kira masalah sedia ada, khususnya tuntutan bertindih sempadan negara anggota.

Kelewatan mencari isu penyelesaian telah meletakkan jutaan nyawa orang awam Syria dalam keadaan penuh berisiko.

Dalam situasi sebegini, siapa lagi boleh diharap rakyat Syria untuk membantu mereka mencari penyelesaian bagi mengakhiri konflik.

Umat Islam begitu peka dengan isu Gaza dan tanah Palestin yang dijajah Israel. Setiap kali berlaku insiden, mereka akan memberi reaksi segera. Bantahan terbuka, tunjuk perasaan dan pelbagai cara digunakan untuk menzahirkan amarah ke atas regim Zionis dan sekutunya Amerika Syarika. Tetapi cara itu tidak berlaku dalam isu Syria dan Yemen walhal mereka juga seagama dan berada di kawasan sebagaimana maksud hadis Nabi Muhamad S.A.W, dua tanah yang barakah.

Dalam konteks hubungan antarabangsa, mengapa perlu ada perbezaan ini, sedangkan ia isu yang membabitkan nyawa dan maruah manusia?

Ia perkara yang perlu dimuhasabah bersama.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *