Menangis setiap kali dengar bunyi pesawat

“Saya ingin melihat laut, langit dan burung. Tetapi terperangkap di sini,” luah Hiba salah seorang pelarian dalam negara (IDP) Syria di Idlib.

Katanya, masa yang ada untuk menyelamat diri semakin suntuk dan untuk menyeberang ke sempadan Turki, ia sesuatu yang mustahil kerana selepas lari dari Timur Ghoutah, dia dan keluarganya kini tidak memiliki apa-apa.

Kalau adapun, kosnya juga di luar kemampuan sebab ia amat mahal di mana perlu membayar USD$1,500 atau RM6,000 sekepala kepada sindiket.

“Ia memakan belanja yang besar. Kami tinggalkan rumah dan harta benda di Ghoutah. Kami tiada apa di sini,” katanya kepada BBC News.

Jika ada wang sekalipun, belum tentu menjanjikan mereka akan selamat menyeberangi sempadan Syria ke Turki kerana ia dibuat secara haram dan terdedah dengan tembakan pasukan keselamatan negara itu.

Kisah Hiba adalah antara cerita jutaan pelarian yang kini terperangkap di Idlib, selepas wilayah itu menjadi sasaran terbaru operasi serangan tentera regim Bashar al Assad dan Rusia.

Dia kini pasrah dan hanya mampu berlindung di dalam rumah yang disewa di Maaratul Nu’man kerana takut menjadi mangsa serangan bom.

“Saya tinggal di rumah dan cuba belajar bahasa Turki dan Inggeris. Saya juga cuba mengajar adik lelaki. Mereka perlu ke sekolah tetapi amat takut dan enggan meninggalkan rumah,” kata Hiba yang berusia 17 tahun ketika konflik tercetus pada 2011.

Ceritanya lagi, sewaktu tiba di Idlib, bersama 50,000 pelarian lain awal tahun ini, dia tidak dapat membayangkan betapa gembiranya kerana dapat hidup di luar persembunyian selepas berbulan-bulan berlindung di ruang bawah tanah.

Meskipun keadaan teruk, tetapi mereka mampu menikmati saat-saat indah.

Namun sangkanya keadaan itu berpanjangan, kini meleset.

Idlib tidak lagi menjadi zon bebas perang, regim Bashar al Assad dan sekutunya Rusia kembali mengganas dengan melancarkan serangan udara dan artileri.

Seperti sebelum ini, Hiba dan keluarganya sekali lagi terpaksa menempuh trauma yang pernah dialaminya sebelum ini.

Katanya, adik perempuan dan lelakinya yang berusia tiga dan enam tahun memandang ke arah khemah dan bertanya “di mana ruang bawah tanah?”.

“Bangunan terlalu kecil untuk kami berlindung dengan sempurna.

Idlib adalah kawasan pertanian, tiada tempat untuk kami berlindung dan pesawat terbang amat rendah.

Keadaan semakin teruk hari demi hari. Pesawat mensasarkan banyak kawasan di sini.

Cukuplah kami saksikan pengeboman di Timur Ghoutah. Saya menangis teresak-esak bila mendengar semula bunyi kapal terbang,” luah Hiba.

Ketika dikepung di Timur Ghoutah dulu, adik lelakinya, Muhammed yang ketika itu berusia 15 tahun memuat naik video dan berkongsi cerita mengenai kesengsaraan penduduk yang berada dalam kepungan dan kemudian menjadi tular serta disiar agensi berita antarabangsa termasuk BBC News.

Artikel ini telah diolah dari laporan BBC News “Idlib: ‘I cried so much when we heard the warplanes again’.

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *