Kem Rukban: Taktik paksa pelarian pulang

Syrian Response Coordination Group, salah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang beroperasi di kem Rukban membuat rayuan kepada masyarakat antarabangsa bagi mengenakan tekanan kepada regim Bashar al Assad untuk menamatkan sekatan yang dilakukan ke atas lebih 60,000 pelarian di situ dengan segera.
Pada masa yang sama, ia juga meminta Jordan membuka sempadan bagi membolehkan penghantaran bantuan kemanusiaan dilakukan.
 
Katanya, kepungan ke atas orang awam adalah satu bentuk jenayah perang dan taktik itu digunakan regim untuk memaksa mereka yang mencari perlindungan di situ, pulang ke kawasan yang dikuasainya.
 
Keadaan di kem Rukban yang terletak di tengah padang pasir dan bersempadan dengan Jordan semakin kritikal selepas lebih seminggu tentera regim dan sekutunya bertindak menyekat penghantaran sebarang bentuk bantuan dari memasukinya.
 
Ia tindakan susulan selepas kepungan ke atas kem berkenaan yang dibuatnya sejak Jun lalu.
 
Sementara itu, agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendesak Syria supaya membenarkan penghantaran segera bantuan kemanusiaan dan bekalan ubat-ubatan kepada lebih 60,000 pelarian di kem Rukban.
 
Ia memberi amaran jika sekatan berterusan berterusan, keadaan akan menjadi lebih buruk dengan ketibaan musim sejuk.
 
Dalam kenyataannya pada Rabu, Pengarah Wilayah Asia Barat dan Utara Afrika Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Geert Cappelaere berkata, bagi menghadapi suhu yang jatuh di bawah paras beku di padang pasir yang gersang, lebih banyak peralatan kesihatan sofistikated diperlukan.
 
“Sekali lagi, UNICEF merayu kepada semua pihak yang terbabit dengan konflik di Syria dan mana-mana yang mempunyai pengaruh ke atas mereka supaya membenar dan memudahkan akses kepada keperluan asas termasuk kesihatan kepada kanak-kanak dan keluarga,” katanya.
 
Dalam nada yang lebih keras, Cappelaere berkata, ia adalah masa untuk mengakhiri perang ke atas kanak-kanak.
 
“Sejarah akan menilai kita dan dalam kebanyakan kes kematian kanak-kanak boleh dielak, akan terus mengejar kita.
 
“Dua bayi di Rukban antara sebahagian kanak-kanak yang mati di Syria dan rantau ini yang mana mereka tidak sepatutnya. Hayat hidup mereka menjadi pendek, keluarga mereka selamanya berada dalam kesedihan,” katanya.
 
Menurut UNICEF pada masa sekarang hanya terdapat sebuah klinik sokongan yang menyediakan perkhidmatan kesihatan asas kepada lebih 60,000 pelarian di situ./Foto STJ.
 
Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *