Kem Rukban: Apa rancangan PBB?

Konvoi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Syrian Arab Red Cresent (SARC) dijadual akan memasuki kem Rukban paling awal pada Khamis ini.

Itupun akan dibuat selepas mendapat kebenaran regim Bashar al Assad.

Jika diberi kelulusan untuk memasuki kawasan berkenaan, ia tidak bermakna masalah sedia ada boleh diatasi dengan sepetik jari kerana segala proses sama ada penyaluran, pengagihan serta urusan berkaitan dengan bantuan misi kemanusiaan perlu melalui pentadbiran Damsyik dan akan mengambil masa.
Sedangkan dalam laporannya sebelum ini, PBB telah memberi amaran bahawa keadaan di kem Rukban amat kritikal kerana ia telah sekian lama berdepan dengan segala bentuk kekurangan khususnya makanan, bekalan air bersih dan penjagaan kesihatan, yang memerlukan tindakan segera.

Dalam bancian, ia menganggarkan 80 peratus daripada penghuni kem Rukban terdiri daripada kanak-kanak dan wanita dan mereka terkandas bertahun-tahun di situ selepas dihalang menyeberang sempadan memasuki Jordan.
Meskipun ketika ini mereka terlepas dari tembakan, serangan roket dan pengeboman dari tentera kerajaan dan kumpulan bertelagah, ia tidak menjanjikan keadaan yang selamat.
Bahkan, sekatan bantuan makanan dan bekalan ubat-ubatan ke situ yang dikuatkuasa tentera regim Bashar serta keengganan Jordan membuka pintu sempadan kepada misi kemanusiaan meletakkan nyawa pelarian di hujung tanduk.
Situasi di kem yang terletak di zon bebas perang (DMZ) antara Syria dan Jordan semakin meruncing kerana kini mereka diancam pula dengan musim sejuk yang boleh menjunam di bawah paras beku.
Cuaca tidak menentu di penghujung musim gugur dengan hujan dan ribut pasir mendatangkan satu lagi musibah di mana ia memusnah tempat mereka berlindung yang kebanyakannya dibina dari lumpur dan hamparan plastik.
“Situasi di sini amat buruk .

“Anda boleh menulis buku mengenai kesengsaraan di sini. Setiap hari, setiap jam, kami mempunyai kisah sedih,” kata Shukri Shehadi, salah seorang pelarian di situ kepada Pittsburgh Post-Gazzete.

Cerita yang sama dikongsi Imad al-Ghali, yang terpisah dengan anak dan isterinya sejak lebih tiga tahun lalu.

“Cabaran paling besar di kem ini adalah untuk mendapat makanan,” katanya melalui sistem pesanan suara kepada portal berkenaan.

Meskipun Penyelaras Kemanusiaan PBB bagi Syria, Ali al Za’tari kini berada di Damsyik mengesahkan pasukannya bersama SARC dalam keadaan bersiap siaga untuk memasuki kem Rukban, tetapi beliau tidak menyatakan dengan jelas dan terperinci rancangan jangka panjang berhubung nasib pelarian di situ.

Razali Awang

Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *