Isu Syria : Rusia umum gencatan senjata

Rusia dan Turki mencapai persetujuaan untuk melaksanakan gencatan senjata baru di Idlib.

Perkara berkenaan disahkan salah seorang pegawai kanan tentera Rusia, Mejar Jeneral Yury Borenkov melalui laman Facebook rasminya.

Melalui pengumuman yang dibuat, beliau memaklumkan gencatan senjata berkuatkuasa di kawasan bebas perang pada jam 2 petang waktu Moscow (11:00GMT).

Perkara berkenaan dilaksanakan selepas persetujuan bersama dicapai antara Moscow dan Ankara.

Sehingga kini kumpulan Hay’at Tahrir al Sham (HTS) yang menguasai sebahagian besar Idlib tidak memberi sebarang reaksi berhubung perkembangan berkenaan.

Disember lepas Turki telah meminta Rusia untuk melaksanakan gencatan senjata dan menghantar wakil ke negara itu bagi membincangkan isu berkenaan, bulan yang sama di mana regim Bashar al Assad dan sekutunya melancarkan serangan tanpa henti ke atas kawasan yang masih menjadi kubu kuat kumpulan anti kerajaan.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada bulan itu sahaja hampir 300,000 orang awam telah melarikan diri ke kawasan bersempadan dengan Turki bagi mencari perlindungan.

Pengumuman gencatan senjata sebelah pihak yang dibuat Moscow bukan perkara baru kerana pada September 2019, gencatan yang sama telah dibuat selepas serangan tanpa henti dibuat pada April 2019.

Secara keseluruhan seramai 11,215 nyawa termasuk 1,000 kanak-kanak telah menjadi korban konflik di Syria sepanjang 2019.

Meskipun angkanya melebihi 10,000 orang jumlah kematian berkenaan dianggap paling rendah sejak kebangkitan rakyat menentang regim Bashar pada Mac 2011. /Foto Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *