Pelarian Syria tidak sedia hadapi Covid-19


Sembilan tahun selepas menempuh pelbagai derita, sengsara dan kematian, wabak Covid-19 menjadi satu lagi malapetaka besar kepada pelarian Syria di utara negara itu.

Dalam keadaan yang serba daif dengan ketiadaan sistem kesihatan yang berfungsi dengan baik, tahap kualiti kebersihan yang rendah dan kekurangan zat makanan serta ubat-ubatan, ia ibarat bom masa yang akan memakan korban yang ramai.

Setiausaha Agung Majlis Pelarian Norwan, Jan Egeland, telah memberi amaran yang wabak itu memberi kesan yang dasyat ke atas pelarian di negara yang berdepan dengan konflik seperti Syria dan Yemen kerana sistem kesihatan yang telah musnah.

“Berjuta mereka yang terjejas dengan konflik hidup dalam keadaan yang sesak serta kawasan penempatan yang tersangat tidak bersih dan tiada kemudahan kumbahan.
“Akan berlaku kematian beramai-ramai apabila virus berkenaan merebak di Syria, Yemen dan Venezuela di mana hospital telah dimusnahkan dan sistem kesihatan pula telah tumbang,” katanya dalam satu kenyataan yang kemudian disiarkan NBC News.

Namun, ketika kebanyakan masyarakat antarabangsa panik dengan penularan wabak Coronavirus atau Covid 19, perkembangannya tidak diambil kisah pelarian Syria berlindung di utara negara itu.

Pada mereka ada perkara penting seperti makanan, tempat tinggal dan keselamatan diri lebih mustahak difikirkan.

Dalam keadaan tidak terkawal dengan kualiti kebersihan yang buruk, jangkitan virus menjadi satu lagi musibah besar kepada mereka.

Ketiadaan sistem pembentungan yang teratur, perkongsian bekalan air bersih dan khemah pelarian yang sesak memudahkan virus ini berjangkit dalam sekelip mata.

Ditambah pula dengan budaya Arab yang berpeluk cium, berkongsi makanan dalam dulang serta air minuman, sekiranya merebak ke sini, ia ibarat bom masa.

Hakikat itu diakui rakan setugas, Shadi al Uwainah.

“Pelarian di sini tidak sempat hendak memikirkan mengenai virus. Makanan, tempat tinggal dan pakaianpun tiada. Inikan pula hendak memikir virus itu,”katanya.
Shadi, juga pelarian yang berasal di Latakia dan kini bekerja dengan Syria Care berkata, sebahagian pelarian mengambil maklum dengan wabak yang telah melanda dunia itu, tetapi hanya mendengar.

Tiada apa yang dapat mereka lakukan kerana keadaan hidup terlalu daif.

Ketiadaan sistem pembentungan yang teratur, perkongsian bekalan air bersih dan khemah pelarian yang sesak menjadi bom masa kepada penularan virus Covid 19

Pandangan itu turut dikongsi rakannya, Adnan Sulaiman.

“Kami hanya mampu berserah kepada Allah, mengharap belas ihsannya kerana di sini kami bertarung untuk hidup.

Pandangan kedua mereka adalah gambaran sebenar di Idlib atau lebih tepat lagi di Sahil.

Ketibaan hampir sejuta pelarian baru dari kawasan selatan Idlib sejak Disember lepas, menjadikan bahagian utara begitu sesak tanpa sebarang kemudahan asas yang sepatutnya.

Ketika melakukan tinjauan di salah sebuah kem yang menempatkan 50 buah khemah, saya dimaklumkan di situ hanya terdapat empat buah tandas dan tiada bilik mandi.

Salah seorang penghuninya memberitahu, dia tidak mandi sejak tiba sebulan lepas.

Di kawasan yangi dikuasai kerajaan, perkembangan sebenar Covid 19 di Syria masih menjadi misteri.

Sehingga kini pentadbiran regim Bashar al Assad tidak memberi sebarang kenyataan mengenainya wal hal di sekeliling negara itu seperti Israel, Lubnan, Iraq dan Turki telahpun mencatatkan jangkitan.

Lebih membimbangkan, sekutu rapatnya di Asia Barat, Iran menjad negara paling teruk mencatatkan peningkatan wabak dan kematian di luar China.

Sehingga Jumaat (20 Mac 2020), ia mencatatkan angka korban mencecah sehingga 1.433 nyawa.

Dalam tempoh 24 jam sahaja 149 mati akibat virus berkenaan.
Seperti dunia sedia maklum, Damsyik begitu erat dengan Tehran. Agak mustahil kerana sehingga ke hari ini, tiada langsung kenyataan mengenai penuluran wabak itu didedahkan kepada awam.
Foto/Syria Care

Razali Awang
Media Syria Care

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *