Begitu hebat aturannya

Begitu hebat aturannya. Bayangkan ketika ingin mendaftar masuk untuk meneruskan penerbangan dengan Qatar Airways dari Doha ke Istanbul dan kemudian Hatay, Turki, segalanya telah dipermudahkan Allah.

Dalam keadaan bagasi yang bertimbun, saya telah disapa oleh petugasnya yang dikenali Sadaf, yang berasal dari Banglore, India.
Menceritakan tujuan kami bermusafir, iaitu nawaitu menyatuni pelarian Syria di dalam Syria dan Turki, gadis tinggi lampai ini tidak tunggu lama.

Diarahnya kami ke kaunter dan dia sendiri mengambil tempat dan kemudian menguruskan sendiri prosesnya. Hanya beberapa minit menguruskan bagasi kami, Sadaf maklumkan semuanya selesai. Tiada caj tambahan dikenakan. Kerisauan saya berakhir. Manakan tidak, berat bagasi hasil sumbangan rakyat Malaysia sebelum ini benar-benar membimbangkan. Saya khuatir sekiranya perlu membayar caj tambahan. Setiap sekilo bagasi untuk penerbangan antarabangsa, ia akan dikenakan caj QR100.

Kami berpandangan sesama sendiri setelah diberitahu Sadaf. Tersenyum dan berasa lega sambil bibir tak berhenti mengucapkan syukur. Allah telah mempermudahkan urusan ini. Sabit dan isbat memudahkan Segala-segalanya.

Ukiran senyuman Sadaf dengan ucapan selamat jalan dan kata-kata semangat tersemat di ingatan sampai bila-bila. Dia telah dipertemukan Allah untuk memudahkan kami pada misi kali ini.

Semoga budi bicaranya membantu menguruskan bagasi kami diterimaNya sebagai amal kebajikan yang akan memberatkan mizannya di akhirat nanti.

Sambil berjalan menuju ke pintu masuk saya berkongsi pengalaman tersebut kepada Sheikh Samir. Sheikh pun berkata kepada saya “Itu semua taufiq dari Allah”. Saya tersentak dan teringatkan ungkapan doa Syeikhul Islam, Dr. Yusof al Qaradawi ketika menziarahi beliau sewaktu singgah di Doha.

“Aku doakan taufiq dalam kerja-kerja kamu dan kejayaan dalam misi yang dilaksanakan”.

Berderau darah saya seketika. Nyata doa yang diucap ulama tersohor ini dimakbulkanNya.

Saya terus berkata-kata di dalam hati “Ya Allah kami masih di permulaan perjalanan kami. Semoga KAU permudahkan semua urusan seterusnya”.

Siti Sakinah binti Meor Omar Baki
Ketua Misi Kemanusiaan Syria Care 11.0
Doha, Qatar
20 November 2019

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *