Cita-cita anak pelarian dan setia seorang isteri

Cita-cita anak pelarian dan setia seorang isteri.
Di Gazientep, Turki Omma dan tim sempat berjumpa beberapa wanita yang begitu luar biasa pada Omma mendepani ujian sebagai pelarian.
Tidak hanya itu, mereka juga terpaksa menggalas tanggungjawab menyara keluarga serta berperanan sebagai ibu dan bapa dalam masa yang sama kepada anak-anak yang kematian atau kehilangan ayah.
Persinggahan pertama kami di rumah Syaza Durbala yang berasal dari Aleppo. Sebelum kami masuk berjumpa dengannya, Sheikh Wael Al Hanbali yang menemani kami telah menceritakan sedikit sebanyak latar belakang Syaza. “Wanita ini sangat menjaga kehormatan dirinya (dalam bahasa Arabnya ‘afifah) dan masih setia menanti suaminya pulang. Walaupun hidup mereka susah, wanita ini tidak suka meminta-minta…” menjadikan Omma tidak sabar untuk mengenalinya dengan lebih dekat.
Walaupun rumahnya kecil dan agak gelap (mungkin kerana untuk jimat kos eletrik) namun keadannya kemas dan teratur.
Satu perkara yang sering Omma perhatikan di mana-mana sahaja pelarian Syria tinggal baik yang di khemah, mahupun yang di rumah. Kemiskinan bukan sebab untuk hidup dalam kekotoran dan semak.
Sebaik sahaja memasuki rumahnya, Sheikh Wael memperkenalkan kami kepada Syaza dan anak-anak.
Seterusnya dengan sedikit kemahiran berbahasa Arab, Omma mula bertanya bagaimana dia boleh tiba di Gazientep?.
Syaza menceritakan, satu hari suaminya Ahmad al Ali telah pergi ke Aleppo untuk melihat rumah mereka yang sedang dalam pembinaan. Ketika itu mereka tinggal di Azaz dan bercadang untuk pulang ke kampung asal mereka di sana.
Namun, itulah kali terakhir dia melihat suaminya. Ahmad tidak pernah pulang selepas itu. Tiada siapa tahu apa yang terjadi kepada Ahmad pada hari tersebut. Suaminya hilang tanpa berita sehingga kini.
Syaza terus menanti suaminya pulang. Namun pada tahun kedua , keadaan konflik yang memuncak memaksa Syaza untuk membuat keputusan nekad berpindah menyeberang sempadan ke Kilis, Turki yang bersempadan dengan Azaz, Syria.
Ia bukan satu keputusan yang mudah. Namun, demi menyelamatkan nyawa dirinya dan anak-anak dia mengambil keputusan nekad melarikan diri sehelai sepinggang. Tiada apa yang sempat dan mampu dibawa bersama.
Setibanya di Killis dia terpaksa menumpang di rumah beberapa saudara-mara sebelum akhirnya berpindah ke Gazientep.
Meskipun jauh dari kampung halamannya, Syaza masih menunggu suaminya pulang. Dia terus berharap dan berdoa detik itu akan tiba.
Sewaktu suaminya hilang, Syaza sedang mengandungkan anak bongsu mereka Ilaf yang kini berusia 6 tahun. Kesian, anak itu tidak pernah berpeluang mengenali ayahnya.
Hidup sebagai pelarian dengan tiada kemampuan untuk keluar bekerja tidak mematahkan semangat mereka. Sedikit bantuan yang diterima dari UNCHR dan kawan-kawan
dibelanja dengan berhemah. Namun sudah pasti ianya tidak mencukupi.
Apabila Covid 19 menyerang dunia dan persekolahan anak-anak terjejas, anak sulungnya Mustafa, 11 tahun keluar bekerja menjadi pembantu kedai bagi meringankan bebanan mereka sekeluarga.
Sebagai ibu, dia tidak tega melihat anak yang masih kecil terpaksa keluar mencari nafkah. Namun apa pilihan yang mereka ada? Mereka perlu berusaha keras untuk terus hidup.
Ketika ditanya bagaimana perasaanya tanpa suami di sisi, Syaza berkata “Saya takut. Saya takut tidak mampu untuk membayar sewa rumah setiap hujung bulan. Saya takut jika kami terpaksa bergelap kerana tidak mampu membayar bil eletrik. Saya takut jika ada keperluan sekolah anak-anak yang tidak dapat saya sempurnakan. Ini pun mereka perlukan kamus dan saya belum ada wang untuk membelinya”. Syaza menjawab dengan nada perlahan.
“Ketika suami ada dulu, saya tidak pernah merasa begini. Kehidupan kami cukup baik. Kini saya tidak pernah merasai ketenangan yang saya pernah rasa dulu” Meskipun dia cuba menyembunyikan perasaannya, Omma tahu dia menahan sebak.
Walaupun ada yang ingin menyuntingnya sebagai isteri, Syaza terus setia menanti suaminya pulang. Dia tekad untuk tidak mencari pengganti.
Selain Mustafa dan Ilaf, Syaza mempunyai seorang anak perempuan bernama Hayah, 10 tahun.
Omma cuba mendekati anak-anaknya dan bertanya tentang cita-cita mereka.
“Doktor gigi! Saya ingin sekali menjadi doktor gigi” Hayah menjawab penuh keyakinan. “Saya mahu menjadi arkitek!” Mustafa pula bersuara.
Dalam hati Omma terdetik… Sungguh hebat wanita ini. Dalam keadaan beginipun dia terus setia menanti suaminya sambil mendidik anak-anaknya agar tidak merasa kalah dengan keadaan.
Ibrah yang patut dicontohi.
Sebelum pulang, kami menghulurkan sumbangan kewangan untuk meringankan bebanannya. Insya Allah ada kemampuan kami bantu lagi.
Semoga Syaza dan anak-anaknya diberi kekuatan dan kesabaran menempuh cabaran hidup sebagai pelarian.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *